SMK Agama Sibu ditubuhkan pada 2 Januari 1985 dan pengetua pertamanya i alah En Ahmad bin Ayub. En Ahmad bin Ayub telah mentadbir SMK Agama Sibu selama 3 tahun iaitu dari peringkat awal penubuhannya pada tahun 1985 sehingga tahun 1987. Beliau merupakan anak jati kelahiran Sarawak. Sumbangannya pada peringkat awal penubuhan SMK Agama Sibu bermula dengan perjuangan untuk melihat anak Sarawak mendalami ilmu agama. Pentadbiran beliau penuh dengan cabaran dan dugaan kerana merupakan generasi pengasas sekolah. Seramai 114 orang pelajar pengasas sekolah telah menduduki SRP buat pertama kalinya dan telah mendapat kelulusan 100%. Generasi pertama di bawah pentadbiran beliau telah berjaya menghasilkan beberapa tokoh warga cemerlang seperti Dr Hj Juanda Hj Jaya, Mufti Negeri Perlis (2010).

Pengetua yang kedua pula ialah En Noromi bin Hashim. Beliau mentadbir SMK Agama Sibu pada tahun 1988. Beliau banyak memberi sumbangan dalam memperbaiki infrastruktur yang terdapat di SMK Agama Sibu.
Pentadbir yang ketiga ialah Ustaz Abdul Latif bin Haji Abdul Karim. Beliau memangku jawatan pengetua selama 3 tahun iaitu dari tahun 1991 sehingga 1993. Beliau merupakan anak jati kelahiran negeri Sarawak. Beliau telah menyumbangkan banyak jasa dalam melahirkan cerdik pandai Islam di SMK Agama Sibu. Pelbagai pendekatan diperkenalkan untuk menarik minat pelajar supaya mendalami ilmu agama.
 Pentadbir yang keempat ialah Pn Siti Zaleha binti Reduan. Beliau memangku jawatan pengetua selama 2 tahun iaitu dari tahun 1994 sehingga tahun 1995. Beliau telah banyak memainkan peranan dengan memberikan motivasi dan menyuntik semangat pelajar supaya mengutamakan ilmu pengetahuan. Semasa pentadbiran beliau, minat dan kecenderungan pelajar untuk mendalami ilmu agama semakin meningkat. Semakin ramai ibubapa telah menghantar anak-anak mereka ke SMK Agama Sibu.
Pentadbir yang kelima ialah En Ismail bin Jaya. Beliau memangku jawatan pengetua selama 2 tahun iaitu dari tahun 1996 sehingga tahun 1997. Beliau telah banyak menerapkan nilai-nilai murni Islam di kalangan murid. Beliau amat mementingkan akademik dan sahsiah mulia.
Pengetua yang keenam ialah Ustaz Kamal bin Hassan. Beliau telah mentadbir SMK Agama Sibu selama 3 tahun iaitu dari tahun 1997 sehingga tahun 1999. Beliau merupakan anak kelahiran negeri Johor. Beliau telah membawa wajah baru kepada SMK Agama Sibu. Pada waktu pentadbiran beliau, mata pelajaran sains dan teknologi telah mula ditawarkan kepada pelajar SMK Agama Sibu. Mata pelajaran sains dan teknologi kategori teknikal iaitu Lukisan Kejuruteraan dan Teknologi Kejuruteraan telah mula diperkenalkan. Hasrat beliau adalah untuk melahirkan pakar-pakar Islam dalam bidang kejuruteraan yang dapat memberi sumbangan dalam pembangunan agama, bangsa dan negara. Selain itu, mata pelajaran seperti Sains Pertanian, Ekonomi Asas, Perdagangan dan Perakaunan tidak ketinggalan untuk ditawarkan kepada pelajar di SMK Agama Sibu. Beliau amat mementingkan keseimbangan ilmu meliputi ilmu duniawi dan ukhrawi.
Pengetua yang ketujuh ialah Ustaz Abdullah bin Salleh. Beliau telah mentadbir SMK Agama Sibu selama 1 tahun iaitu pada tahun 2000. Beliau berasal daripada negeri Terengganu. Banyak perubahan yang telah dibawa dalam masa 1 tahun pentadbirannya. Beliau telah memperkenalkan sistem pentadbiran sekolah yang lebih sistematik. Segala maklumat disusun secara teratur. Perancangan diwujudkan untuk semua bidang. Pentadbiran yang sistematik ini telah menampakkan impaknya apabila keputusan akademik murid telah meningkat dengan mendadak dalam peperiksaan awam.
Pengetua yang kelapan iaiah Ustaz Md Radzi bin Bahari. Beliau telah mentadbir SMK Agama Sibu selama 3 tahun iaitu dari tahun 2001 sehingga tahun 2003. Beliau berasal daripada negeri Kedah. Beliau telah mewujudkan suasana ad-din di SMK Agama Sibu. Suasana ad-din ini telah menjadikan warga SMK Agama Sibu lebih tenang, selesa dan mudah untuk menuntut ilmu.
Pengetua yang kesembilan ialah Ustaz Ishak bin Muda. Beliau merupakan pengetua yang paling lama (setakat ini) yang telah mentadbir SMK Agama Sibu iaitu 3 tahun 10 bulan. Beliau telah mentadbbir dari tahun 2004 sehingga Oktober 2007. Beliau merupakan anak kelahiran negeri Pahang. Beliau telah banyak membawa pembaharuan di SMK Agama Sibu. Antara sumbangan beliau ialah dengan menyediakan suasana yang kondusif untuk warga SMK Agama Sibu. Banyak kerosakan bangunan telah diperbaiki untuk keselesaan warga SMK Agama Sibu. Beliau lebih mengutamakan suasana yang harmoni di kalangan guru, staf sokongan dan pelajar. Pelbagai aktiviti diadakan untuk memupuk rasa kekeluargaan di kalangan warga SMK Agama Sibu. Impaknya dapat dilihat melalui setiap segi iaitu dari segi akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar. Keputusan peperiksaan awam juga telah meningkat dengan mendadak. Dalam bidang kokurikulum juga, SMK Agama Sibu telah mula menampakkan wajahnya dalam banyak pertandingan peringkat kebangsaan.
Pengetua yang kesepuluh ialah Ustazah Seraya binti Sulaiman. Beliau mula mentadbir SMK Agama Sibu sejak Oktober 2007 sehingga 14 Jan 2009. Beliau amat menitikberatkan ketepatan masa dan disiplin diri. Pelbagai usaha diadakan untuk memantapkan disiplin diri di kalangan murid dan kakitangan sekolah. Beliau merupakan seorang yang sangat penyayang dan prihatin terhadap kebajikan pelajar.
Pengetua yang kesebelas ialah Ustazah Norlela binti Bujang. Beliau merupakan anak jati Sarawak. Beliau mula mentadbir SMK Agama Sibu pada 15 Jan 2009 sehingga 24 Jun 2010. Beliau telah membawa pembaharuan budaya dengan memperkenalkan Program Haiya Nabda' yang bermaksud 'Marilah Kita Bermula'. Beliau juga telah memulakan sistem pentadbiran yang lebih teratur dengan memperkenalkan Program 5S. Program 5S bermula daripada akar umbi iaitu daripada pejabat pengetua sendiri dan seterusnya kepada seluruh warga sekolah. Pengetua yang kesebelas ini juga telah memperkenalkan 'Program Motivasi 5 minit Bersama Pengetua'. Beliau juga telah membawa perubahan dengan menjadikan keadaan perpustakaan dan seluruh kawasan sekolah lebih kondusif dan selesa. Etos sekolah iaitu "kasih-sayang" turut diperkenalkan oleh beliau. Semasa pentadbiran beliau, asrama SMK Agama Sibu telah muncul sebagai johan dalam anugerah kualiti SMKA 2009. SMK Agama Sibu juga banyak menerima lawatan penanda aras daripada sekolah-sekolah lain dari seluruh negeri Sarawak. Antara keistimewaan lain pengetua ini ialah sikapnya yang menitik beratkan solat berjemaah. Hampir setiap pagi, beliau akan mengejutkan pelajar asrama untuk turun solat subuh dan beliau sendiri akan berjemaah bersama-sama pelajar. Pada setiap pagi, beliau akan melakukan pemeriksaan (spot check) pelajar yang turun solat subuh berjemaah. Setiap kali sekolah mengadakan program qiamullail perdana, beliau merupakan antara orang yang akan tiba awal iaitu pada jam 3.30 pagi di Masjid Al-Huda untuk bersama murid-murid melakukan qiamullail. Pengetua ini juga turut mengambil berat kebajikan orang bawahannya. Pada waktu warden sibuk, beliau sendiri akan menghantarkan pelajar yang sakit ke hospital. Selain itu, beliau sangat menghargai setiap individu yang memberikan sumbangan terhadap sekolah. Pada setiap bulan, beliau akan memberikan hadiah kek hari jadi menggunakan peruntukan peribadi kepada semua guru yang menyambut hari jadi dan 30 orang pelajar yang terpilih setiap bulan. Antara keistimewaan lain beliau ialah komitmen dalam menjalankan tugasnya, beliau sentiasa hadir ke semua majlis yang diadakan oleh sekolah pada hari sabtu dan minggu termasuklah semua aktiviti yang diadakan pada waktu malam. Pengetua ini juga tidak kedekut ilmu, beliau selalu memberi tunjuk ajar kepada guru-guru dan kakitangan sokongan sekolah apabila memberikan tugasan. Beliau tidak membiarkan anak buahnya melakukan tugasan keseorangan. Selain itu, beliau turut meluangkan masa sebelah petang untuk mengajar pelajar yang lemah membaca Al-Quran. Beliau seorang yang optimistik dan berwawasan. Beliau juga tidak mudah terpedaya dengan khabar angin, beliau suka menyiasat dengan teliti sebarang berita yang diterima. Sikapnya juga tegas dan kasih kepada anak murid. Beliau selalu menegur dengan berkhemah segala kesilapan murid-murid agar kelakuan yang tidak baik segera diubah. Sikap positif dan prihatin menjadikan beliau disenangi oleh semua orang termasuklah di kalangan ibu bapa murid-murid.
Pengetua yang kedua belas ialah Ustazah Che Zainab binti Che Hassan. Beliau merupakan anak kelahiran negeri Kelantan. Beliau mula mentadbir SMK Agama Sibu pada 25 jun 2010. Beliau lebih menekankan modal insan berkualiti yang menjadi aset utama negara. Sahsiah dan akademik diseimbangkan untuk melahirkan generasi bangsa yang berjaya. Beliau seorang yang prihatin terhadap pencapaian akademik pelajar. Apabila bersua dengan guru, beliau sering bertanya mengenai pencapaian murid-murid. Selepas itu, beliau sendiri akan bersua muka dengan murid-murid untuk mengetahui permasalahan mereka.
|